infohikmah

Ketenangan Itu Tidak Wujud Di mana-mana, Tapi Ia Berada Di Dalam Hati

 

 

Apabila kita melihat pemandangan-pemandangan yang indah dan damai tentu hati kita berdetik; alangkah bahagianya kalau dapat pergi atau tinggal di tempat-tempat tersebut. Di situlah ke-tenangan dapat diperolehi, di situlah kebahagiaan dapat dikecapi.  Paling tidak pun, itulah yang lazim dirasakan oleh sebahagian besar manusia.

Maka menujulah manusia ke pantai-pantai yang permai mencari apa yang mereka namakan sebagai ketenangan. Menjelajahlah manusia ke hutan rimba, ke dataran hijau dan ke bukit serta gunung yang tinggi demi mendapatkan ketenangan yang mereka cari.

Begitulah hakikat fitrah kemanusiaan yang memerlukan hiburan ketenangan, setelah hidup mereka dipenuhi dengan seribu macam kesibukan.   Tapi benarkah wujud ketenangan di  tempat-tempat  yang dikejarkan oleh mereka ini? Di situkah wujud kebahagiaan yang mereka dambakan saban waktu?

Kalau benarlah ketenangan itu berada di tempat-tempat yang indah dan permai, kenapa ada juga manusia yang memiliki ketenangan yang paling hakiki, walaupun kehidupannya hanya dikelilingi lautan pasir dan dipayungi terik mentari?

Siapakah manusia yang paling tenang hatinya kalau bukan Nabi Muhammad s.a.w.? Dan bukankah hayat baginda hanya berlegar di padang pasir. Tidak pernah baginda menyelam ke dasar lautan Pasifik melihat keindahan hidupannya. Tidak pernah baginda menjelajah hingga ke Eropah atau Asia Tengah; bumi yang penuh dengan flora dan fauna yang kita idam-idamkan peluang untuk ke sana.

Dalam keadaan hidup baginda yang di kelilingi padang pasir itu pun, ketenangan yang hakiki berjaya baginda dan para sahabat perolehi. Justeru, di manakah wujud ketenangan itu sebenarnya?

Kalau pun kita diberi peluang untuk ke tempat-tempat yang indah dan permai itu dan di sana kita merasai ketenangan yang kita harapkan, adakah berkekalan rasa tenang itu apabila kita meninggalkan tempat tersebut? Lazimnya tidak. Bahkan kalau memang kita ditakdirkan bermastautin di tempat itu, pastikah ketenangan itu akan berterusan? Jawapannya juga tidak. Buktinya?

Cuba perhatikan, sejak lahir, kita hidup di bumi Malaysia, yang akhirnya kita merasa bosan dengan suasana flora dan fauna negara sendiri, padahal ribuan pelancong dari tempat-tempat yang menjadi idaman kita itu memuji-muji keindahan negara ini. Mengapa mereka ke sini pula, padahal tempat merekalah yang kita rasakan lebih indah dan permai suasananya?

Fikirkan. Kenapa mereka mencari ketenangan di sini, sedangkan kita pula merasakan ketenangan itu berada di tempat mereka sendiri? Cuba halusi kembali. Di manakah sebenarnya ketenangan yang dicari-cari?

Ramai yang menyangka bahawa dengan berada di tempat-tempat seperti itulah ketenangan dapat diperolehi dan kebahagiaan dapat dikecapi. Namun hakikatnya ketenangan itu tidak wujud di mana-mana pun, tapi ia sebenarnya berada di dalam hati.

Walau di mana sekalipun kita berada, sebenarnya ketenangan itu sangat dekat dengan kita. Walau hidup kita di dalam gua yang tertutup tanpa cahaya atau hidup di kelilingi dengan hiruk pikuk kesibukan kotaraya, ketenangan itu tetap dapat kita perolehi. Kerana syarat untuk tenang itu bukannya ke pantai, ke bukit atau ke hutan. Tapi syarat ketenangan itu ialah mengingati Tuhan. Maksud firman Allah; “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itulah hati akan tenang.”

Itulah rahsia ketenangan. Pintunya di hati. Dan kuncinya mengingati. Dan yang diingat itu ialah Tuhan Yang Maha Suci. Lihatlah apa sahaja di depan matamu dan kalau yang

dilihat itu diperhati dan yang diperhati itu dihayati dan yang dihayati itu difahami akan hakikatnya, kemudian segalanya dapat membawa hati mengingati Allah, maka akan lahirlah ketenangan.

Melihat manusia yang berbagai rupa bangsa, kemudian mengkagumi kebijaksanaan Tuhan, maka hati akan tenang. Melihat kenderaan lalu-lalang, kemudian memuji kehebatan Tuhan atas ilmu yang Dia ilhamkan pada manusia untuk mencipta kenderaan itu, maka hati akan tenang.

Melihat kemusnahan dan pencemaran kotaraya, kemudian menginsafi ketentuan Tuhan terhadap kehancuran dunia (kiamat), maka hati akan tenang. Melihat manusia dengan segala macam ragam; ada yang kuat ibadatnya dan ada yang hebat maksiatnya, kemudian menangisi dan memohon keuzuran dari Tuhan atas kesilapan diri sendiri, maka hati akan tenang.

Begitulah yang disuruh oleh Tuhan. AlamNya terbentang luas bukan untuk dipandang, tapi diperhati. Bukan untuk dilihat, tapi dihayati. Bukan untuk direbut, tapi dimanfaati. Maksud firman Allah; “Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan bumi, dan silih pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal.”

Itulah tujuan alam dicipta. Tuhan lahirkan kita merata di seluruh dunia. Biarlah di mana pun kita berada. Kalau pun tempat kita ditakdirkan lahir itu adalah tempat yang dipenuhi dengan kehancuran akibat peperangan atau malapetaka alam, ketahuilah! Tuhan itu tetap adil.

Dia tidak menetapkan syarat ketenangan itu mesti berada di tempat yang indah permai, tapi yang Dia telah tentukan ialah; untuk tenang itu, hati mesti mengingati DiriNya. Itulah syarat ketenangan yang menjadi impian setiap insan. Yang pasti, tiada siapa yang hanya mahu ketenangan yang bersifat sementara. Justeru, ingatlah Tuhan, dan selama mana ini dilakukan, insyaAllah hati akan tenang.

 

Lupa-Lupa Yang Bermanfaat

 

Lupa adalah sifat yang ada pada manusia. Tiada siapa yang tidak pernah lupa. Bahkan, asal perkataan insan itu sendiri pun; iaitu nasiya, bermaksud lupa. Jadi secara fitrahnya manusia ini Tuhan jadikan dengan sifat pelupa. Kalau tidak masakan Dia utuskan nabi-nabi dan para rasul untuk memberi peringatan?

Dalam banyak-banyak sifat lupa, ada juga jenis lupa yang terpuji. Malah lupa jenis ini amat digalakkan dan harus menjadi amalan. Lupa ini akan membuatkan bukan sahaja manusia suka bahkan si pelupa jenis ini akan turut dipuji oleh Tuhan.

Lupa pada jasa dan kebaikan yang pernah kita buat pada orang lain, adalah lupa jenis yang terpuji. Kita mungkin pernah menolong kawan atau seseorang. Kita mungkin pernah berjasa pada masyarakat. Kita mungkin pernah bersedekah atau menderma ratusan malah ribuan ringgit untuk satu-satu tujuan yang mulia. Lupakanlah. Usahlah kita ungkit-ungkit jasa dan kebaikan kita.

Kalau kebaikan-kebaikan yang pernah kita lakukan boleh kita lupakan, pasti manusia akan suka pada kita. Tidak ada siapa yang akan mengata dan tidak akan ada siapa yang akan berburuk sangka dan berhasad dengki dengan kita.

Dalam hidup bermasyarakat, kekadang perselisihan faham tidak dapat kita elakkan. Mungkin ada di antara kenalan kita membuat kesalahan dan kesilapan pada kita. Memanglah itu sesuatu yang tidak wajar. Dan kita mungkin kecewa dengan sikap mereka. Tapi kalau kita boleh lupakan kesalahan mereka pada kita dan kita maafkan sahaja, itulah sifat yang paling mulia. Lainlah kalau tindakan mereka itu boleh menjatuhkan maruah diri dan agama.

Kita sendiri pun bukannya terpelihara daripada membuat kesilapan. Mungkin dengan kita melupakan kesalahan orang lain yang dilakukan pada kita hari ini, esok lusa bila kita buat kesilapan pada orang lain, mereka juga akan lupakan sahaja silap kita itu.

Alangkah indahnya kehi-dupan ini kalau sesama kita saling maaf-memaafkan. Mudah-mudahan dengan kita melupakan salah dan silap orang, nanti di akhirat kelak, Allah sendiri pun akan “melupakan” sahaja kesilapan yang pernah kita buat di atas muka bumi ini.

Kalau pada manusia lupa jenis ini boleh kita buat, lebih-lebih lagilah pada Tuhan. Mungkin selama ini kita banyak membuat amal ibadah. Sembahyang kita jaga. Puasa tak pernah tinggal. Zakat kita bayar. Haji pun mungkin kita dah tunaikan. Harta kita sebahagiannya kita infakkan ke jalan Allah. Dan banyak lagi amal baik yang kita buat untuk Tuhan. Teruskan beramal dan lupakanlah kebaikan-kebaikan yang telah kita buat untuk Tuhan itu. Tak usahlah diungkit-ungkitkan di hadapan Tuhan.

Biarlah kita jadi orang yang paling banyak beribadah tapi masih tetap merasa ibadahnya tidak sempurna. Jadilah orang yang paling baik tapi dalam hati masih tetap merasa dirinya jahat. Jadilah orang yang paling banyak buat pahala, tapi dalam hati masih tetap merasa diri penuh dengan dosa. Bila ini dapat kita lakukan, pastinya kita tidak ada masa untuk mengintai-intai kesalahan dan kesilapan orang lain.

Mungkin juga selama ini Allah pernah uji kita dengan dugaan dan masalah. Kita ditimpa penyakit dan pelbagai bentuk musibah. Kita ditimpa kemiskinan dan jiwa yang resah gelisah. Lupakanlah. Usahlah ujian yang sedikit itu kita canangkan merata-rata. Takut-takut timbul rasa tak redha dengan qada dan qadar Tuhan. Nanti rosak pula iman. Lupakanlah.

Kalau nak dibandingkan antara musibah yang kita terima dengan nikmat yang Tuhan beri pada kita, sudah tentun nikmatnya lebih banyak lagi. Janganlah kerana musibah yang sedikit dan sekali sekala itu sudah membuatkan kita menjadi seorang hamba yang suka memprotes tindakan-tindakan Tuhannya.

Inilah jenis-jenis lupa yang bermanfaat. Lupa yang tidak akan mendatangkan kebencian orang, malah kita akan disayangi dan disukai oleh manusia dan juga Tuhan.

 

Dari Sehelai Daun Yang Gugur

 

Kita sangat beruntung kerana bumi tempat kita tinggal ini subur dengan pepohon yang menghijau. Di sekeliling kita tumbuh pelbagai jenis tumbuhan baik yang berupa sumber makanan mahu pun yang berfungsi sebagai penghias taman.

Tanpa kita sedari, kewujudan pohon-pohon ini adalah sebenarnya merupakan satu keperluan yang penting bagi semua makhluk yang bernyawa. Kerana pohon-pohon inilah sumber oksigen di atas muka bumi ini.

Untuk semua yang ada ini, tidak ada yang paling wajar kita lakukan selain menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Tuhan.

Namun, kewujudan pepohon ini bukanlah sekadar untuk kita ambil manfaat daripadanya sahaja, bahkan padanya ada satu tanda yang perlu kita sedari akan hakikatnya. Agar dengan itu kita akan dapat memahami atas tujuan apakah kita dilahirkan ke dunia ini.

Saban hari kita mungkin berjalan di tepi sebatang pokok. Atau mungkin kita pernah berteduh di bawah redupan sebatang pokok.

Kita juga tentunya sering melihat dedaun pokok yang sedang berguguran dari tangkainya. Maka tanah di bawah pokok itu pun penuhlah dengan dedaun yang kering.

Kita memang selalu melihatnya. Ada orang melihatnya sebagai sesuatu yang tidak ada erti. Ada pula yang melihatnya sebagai sesuatu yang menyemakkan pandangan. Ada juga yang melihatnya sebagai sumber rezeki. Dan tidak kurang juga yang melihatnya sebagai satu bentuk keindahan.

Pendek kata, daripada sehelai daun yang gugur itu akan lahirnya seribu satu persepsi kalau dilihat dari sudut yang berbeza-beza. Memang nyatalah seperti yang disebut oleh Tuhan sendiri, bahawa Dia tidak menciptakan segala sesuatu itu dengan sia-sia.

Apakah setakat ini sahaja pengajaran yang dapat diambil daripada sehelai daun kering yang gugur? Tidak! Ada lagi pengajaran yang lebih besar daripada itu.

Allah s.w.t. berfirman; “…Dia mengetahui apa yang di darat atau di laut. Dan tidak gugur walau sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya….” (Al Maidah : 59).

Hebat bukan? Setiap helai daun yang gugur itu diketahui olehNya. Bayangkan sebatang pokok ada berapa banyak daunnya. Ratusan ribu, mungkin. Itu baru sebatang. Bayangkan pula, berapa batang pokok yang tumbuh di atas muka bumi ini. Dan Allah Maha Mengetahui dan Menjaga urusan setiap helai daun pokok-pokok tersebut. Maha HebatNya Tuhan!

Sudahlah Dia yang mencipta setiap helai daun itu unik. Maksudnya setiap helai daun itu tidak akan sama bentuk atau warna atau saiznya sekalipun tumbuh daripada tangkai yang sama. Tidak cukup dengan itu, Dia jugalah yang mengawasi secara terperinci setiap proses tumbesaran dedaun itu sejak ia bertunas hinggalah ia gugur ke bumi.

Manusia mana yang mampu menjaga urusan sebegitu terperinci? Teknologi mana yang mampu memerhati setiap detik tumbesaran daun hingga ia gugur ke bumi?

Begitulah hebatNya Tuhan dalam menguruskan alam yang Dia ciptakan ini. Bukan setakat peredaran matahari, bulan atau pun planet sahaja yang Dia awasi, bahkan sehingga kepada sekecil-kecil perkara seperti ini pun Dia Mengetahui dan sentiasa Mengawasi.

Selepas anda selesai membaca tulisan ini, pergilah ke luar rumah. Pandanglah kepada sebatang pokok di hadapan rumah anda. Dan perhatikanlah daun-daun yang masih terlekat kemas pada tangkainya. Di waktu itu, ingatlah bahawa Allah sedang menguruskan perjalanan hidup dedaun itu. Kemudian kalau ada sehelai daun yang sedang gugur perhatikanlah dan ingatlah bahawa di saat itu Allah juga sedang menguruskan kegugurannya. Di atas tanah yang mana ia akan jatuh. Ketahuilah Ilmu Allah meliputi setiap kejadian yang baru anda saksikan itu. Dia tidak pernah leka walaupun untuk sedetik atau lebih singkat daripada itu.

Andainya ini dapat anda lakukan sebentar nanti, bersyukurlah kerana anda sebenarnya telah dianugerahkan kemampuan untuk berzikir mengingatiNya. Itulah sebesar-besar nikmat yang harus kita rebuti.

Itulah antara contoh zikir yang dimaksudkan oleh Allah dalam FirmanNya:

“Dan orang-orang yang mengingati Allah (zikir) sambil berdiri, duduk atau berbaring. Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit-langit dan bumi, dan silih ganti malam dan siang (seraya mereka berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau jadikan semua ini sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab api neraka.” (Ali Imran: 190)

Kalau dalam hal-hal kecil seperti jatuh gugurnya daun itu pun sudah dalam pengetahuan Allah, apatah lagilah hal-hal yang berkaitan dengan gerak laku perbuatan kita.

Bila kita sudah menyedari begitu terperincinya pengetahuan Allah tentang alam ciptaanNya, maka hendaklah kita selepas ini sentiasalah berhati-hati, kerana pada setiap detik, tindak tanduk kita sebenarnya sedang diperhati dan diawasi.

 

Andainya Dosa Dihitung

 

Orang yang dalam fikirannya sering mencari jalan untuk mendekatkan diri pada Allah akan sering melakukan perkara-perkara yang disukai olehNya. Dia akan membuat bermacam-macam kebaikan. Bangun sahaja dari tidur, yang terlintas pada fikirannya ialah, apakah yang harus aku buat hari ini supaya Allah redha pada aku?

Maka terpandulah segala tindak tanduknya pada hari itu ke arah mencari redha Tuhan. Kalau dia berhadapan dengan sesuatu yang baru, maka hatinya terus mencongak sebelum tangannya bertindak – apakah perkara ini disukai Tuhan? Begitulah kehidupannya sehari-harian. Teras hidupnya ialah Tuhan.

Bukan seperti kebanyakan orang yang menjadikan Tuhan hanya sebagai perkara sampingan. Bila susah sahaja baru rujuk pada Tuhan. Tuhan hanya disembah pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Bagi golongan ini, persoalan tentang Tuhan hanya berlegar dalam hal-hal ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Tidak lebih daripada itu. Pada mereka, dalam bab berpakaian, berekonomi, berpolitik dan berhibur, Tuhan tidak boleh campur tangan.

Ini adalah kefahaman yang sangat salah. Kita sebenarnya dicipta untuk menyembah Tuhan setiap saat. Maknanya segala tindak tanduk kita haruslah menjurus ke arah mencari redha Allah, baik dalam ibadah khusus seperti solat  sehinggalah kepada perilaku kita di waktu beriadah, berekonomi, berpolitik dan juga berhibur.

Mereka yang sudah memulakan perjalanan menuju redha Tuhan ini hendaklah memperbanyakkan amalan-amalan yang baik. Yang sudah beramal, maka hendaklah memperbaiki lagi mutu amal itu.

Usahlah ketika beramal kita asyik menghitung amal-amal kita. Berapa banyak solat sunat yang kita buat. Berapa banyak puasa sunat yang kita lakukan. Berapa banyak pula wang yang telah kita sedekahkan. Tidak perlu.

Sebab, sebanyak mana pun amal yang kita lakukan, ia masih tidak dapat menandingi nilai seinci tanah syurga. Mungkin beratus rakaat solat sunat kita dirikan, namun ia tidak punya apa-apa nilai sekiranya wujud walau sekelumit rasa riak.

Ada pula manusia yang terkenal sebagai ahli ibadah, tapi dia tidak dipandang Allah pun sebab dia sudah merasa dirinya baik. Inilah bahaya-bahaya yang perlu diambil perhatian bagi orang-orang yang mahu memurnikan perjalanan menuju redha Allah.

Oleh yang demikian, menghitung amal kebaikan adalah sesuatu perbuatan yang kurang elok, kerana ia boleh mewujudkan rasa diri sudah baik, bila amalan itu besar jumlah.

Yang paling afdhal atau paling baik untuk dilakukan ialah menghitung dosa dan kesalahan kita. Rasanya tidak ramai yang sudi untuk menghitung dosa sendiri kerana tidak mampu untuk mengakui bahawa apa yang dia buat itu sebenarnya satu dosa.

Apa yang biasa dilakukan ialah mencari jalan untuk mengharuskan perbuatannya itu. Paling tidak pun ada yang cuba menenangkan hati dengan mengatakan bahawa dosa itu hanya dosa kecil.

Mengapakah harus kita merasa malu untuk mengakui di hadapan Tuhan tentang dosa kita, sedangkan Saidina Umar r.a. sendiri saban malam menghitung dosa-dosanya. Setiap satu dosa yang dikenalpasti, maka satu libasan rotan dikenakan ke atas dirinya.

Memang ia sukar. Kerana memang sifat manusia, mereka sangat payah untuk mengakui kesilapan diri sendiri. Tapi jika kita mahu memperbaiki diri, maka inilah salah satu caranya.

Cuba bayangkan situasi ini. Katakanlah, kita membuat dosa sekali dalam sehari. Maka kalau dihitung, dalam setahun kita telah melakukan dosa sebanyak 365 kali. Andaikan kita hidup sehingga umur 65 tahun. Makna semenjak umur baligh kita iaitu 15 tahun hingga kita meninggal dunia, kita telah membuat dosa sebanyak 18,250 kali.

Kemudian kita andaikan setiap satu dosa, Allah hukum kita dengan tinggal dalam neraka selama sehari. Perlu diingat satu hari di akhirat bersamaan 1,000 tahun perkiraan di dunia. Maka hitunglah berapa lama kita akan disiksa dalam neraka? – 18,250 dosa x 1 hari akhirat x 1,000 tahun dunia x 365 hari dunia = 6,661,250,000 hari!

Bayangkan kita tinggal di dalam neraka selama 6.7 bilion hari! Duduk berjemur di tengah panas selama 1 jam pun kita sudah hendak pitam, inikan pula di dalam neraka. Wal’iyazubillah.

Tersebut satu riwayat di mana seorang ayah mempunyai seorang anak lelaki yang sangat nakal. Saban hari ada sahaja kejahatan dan dosa yang dibuatnya. Maka suatu hari si ayah telah membawa pulang sebatang tiang yang putih bersih lalu diletakkan di tengah-tengah rumahnya.

Pada si anak dia berkata; “Wahai anakku, tiang ini adalah umpama hatimu. Mulai hari ini setiap kali engkau berbuat dosa dan kejahatan, ayah akan ketuka sebatang paku pada tiang ini”.

Maka hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Setiap kali dosa dibuat oleh anaknya, si ayah akan mengetuk sebatang paku pada tiang tersebut.

Akhirnya selepas beberapa bulan, si anak terpandang pada tiang tersebut. Tiang yang asalnya putih bersih kini telah dipenuhi dengan ribuan batang paku.

Gementar hati si anak kerana dia sedar, setiap batang paku itu mewakili dosa-dosa yang telah dia lakukan selama ini. Maka bermulalah keinsafan dalam dirinya sejak hari tersebut.

Kalau inilah dapat kita lakukan pada diri kita, insyaAllah kita sudah berjaya melangkah satu tapak ke arah mencari redha Allah.

Kerana orang yang paling Allah sayang ialah hamba-hambaNya yang bila melakukan dosa maka dia mengakui akan dosa-dosanya dan kemudian menyedari bahawa mereka ada Tuhan yang boleh mengampunkan dosa.

 

Kalau mahukan Mawar, Terimalah Durinya

Siapa tidak kenal si bunga mawar. Kelopaknya yang lembut dan warnanya yang indah membuatkan terpesona mata yang memandang. Harum baunya sangat mendamaikan jiwa. Tidak hairanlah si bunga mawar sentiasa menjadi bunga perhiasan taman. Malah ia turut menjadi bunga pilihan pengikat kasih sayang.

Di samping ciri-ciri ini, kelopak bunga mawar itu hanya berputik di hujung tangkai yang berduri. Namun begitu manusia masih sanggup bersusah payah untuk mendapatkan bunga mawar. Biarpun tangan ditusuk duri, walau menitis darah di jari, namun mawar yang indah itu mesti dimiliki.

Begitulah hebatnya usaha manusia bila mahu menikmati keindahan si bunga mawar. Namun tidak ramai yang benar-benar memahami didikan Tuhan dalam kejadian ini.

Tidak ada satu pun ciptaan Tuhan dijadikan tanpa tujuan. Sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Dan tidaklah Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia” (Ali Imran : 91).

Memang Tuhan sengaja mencipta mawar dengan duri-duri ditangkainya. Dengan ini, sesiapa yang inginkan kelopak mawar yang indah, maka dia mesti bersusah payah mengelakkan tangan daripada luka akibat tusukan durinya yang berbisa.

Begitulah juga dengan kehidupan manusia sehari-hari. Demi untuk mendapatkan sesuatu yang berupa nikmat, mereka harus menempuh kesukaran dan kepayahan. Tidak ada satu pun kesenangan itu tanpa didahului dengan kesusahan. Dan tidak ada satu pun kejayaan itu tanpa didahului sebelumnya satu kegagalan.

Firman Allah dalam Surah Alam Nasyrah : 5 – 6 yang maksudnya; “Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kesenangan. Sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kesenangan.”

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda; “Kalau Allah mahukan kebaikan kepada hambaNya, maka Dia akan uji mereka dengan kesusahan (terlebih dahulu)”.

Peribahasa Melayu turut mengatakan; “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.”

Itulah lumrah hidup yang telah Tuhan tetapkan. Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada peraturan alam ini.

Bagi yang ingin berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran, maka dia harus menempuh segala bentuk ranjau alam pendidikan. Kena ada disiplin diri. Masa untuk ulangkaji harus diperuntukkan dan dipatuhi. Perlu banyak membaca dan banyak membuat latihan. Amat mustahil untuk memperolehi gred A kalau usaha hanya seperti melepaskan batuk di tangga.

Begitu juga jika ingin hidup selesa. Usaha mesti bersungguh, kerana rezeki itu mesti dicari. Usah hanya berpeluk tubuh. Sedangkan Nabi s.a.w. kekasih Tuhan pun bekerja mencari rezeki, inikan pula kita manusia biasa.

Apa juga pun yang kita mahukan daripada kehidupan ini, untuk mencapainya kita harus melepasi rintangan-rintangan yang menghalang kita daripadanya.

Kalau dalam menikmati nikmat dunia pun kita mesti menghadapi cabaran dan ujian, apatah lagi kalau mahu menikmati keindahan hidup di akhirat. Syurga Tuhan itu lebih hebat nikmatnya daripada nikmat mendapat segulung ijazah. Keindahan Wajah Tuhan itu lebih hebat nikmatnya daripada segala bentuk keindahan dan kemewahan duniawi.

Namun itu semua bukan boleh diperolehi secara percuma. Sesiapa yang menginginkannya perlu lulus semua ujian yang bersifat perintah dan larangan. Kerana jalan ke syurga itu dibentengi dengan ujian, sedangkan jalan ke neraka itu dihampari dengan permaidani-permaidani godaan.

Itulah didikan Tuhan dalam penciptaan si bunga mawar. Renungilah dan ambillah pengajaran Tuhan ini. Semoga kehidupan kita sentiasa terpimpin oleh petunjuk dan hidayah daripadaNya. Amin.

Bila Hati Sudah Gersang

 

Walau sebaik mana pun benih pohon, tapi kalau ia kita tanam di dalam tanah yang gersang atau tandus, pasti hasilnya tidak sebaik yang kita harapkan. Logiknya, petani hanya akan menabur benih pada tanah yang subur agar benih yang baik tadi akan tumbuh dan menghasilkan pohon-pohon yang rendang dengan buah-buahan yang lebat lagi ranum. Kalau yang ada hanyalah tanah yang telah gersang, maka si petani tentunya akan berusaha untuk menyuburkannya semula dengan siraman air dan tumpukan baja sebelum benih ditaburkan.

Hati manusia adalah umpama hamparan tanah. Dan yang ingin ditanam dalam hati ini adalah benih-benih iman. Harapannya, agar dari situ akan tumbuhlah pohon yang subur yang akarnya jauh ke dasar bumi dan pucuknya menjulang ke langit tinggi. Namun apa akan jadi pada benih iman yang suci itu kalau tempat semaiannya gersang lagi tandus?

Adalah mustahil benih iman akan bercambah apatah lagi untuk tumbuh membesar, kalau hati kita tak subur. Hati yang gersang tidak akan menyuburkan iman. Dan iman yang tidak subur tidak akan membuahkan kemanisan taat dalam memperhambakan diri pada Tuhan. Dalam keadaan seperti ini, maka tak hairanlah kalau kita melihat ramai umat Islam yang kononnya percaya pada keTuhanan Allah, tapi masih memandang ringan soal sembahyang. Waktu sembahyang selalu dilengah-lengahkan. Ada yang sembahyang mengikut kesempatan. Bila bersembahyang sentiasa ingin segera menyelesaikan, seolah-olah urusannya dengan manusia lain adalah lebih penting daripada urusannya dengan Tuhan. Dan yang paling malang, ada umat Islam yang tak pernah rasa bersalah kalau sembahyang ditinggalkan.

Kalau urusan sembahyang pun belum lagi selesai, tak usahlah kita sibuk berbincang tentang soal-soal yang lain. Sebab manusia hanya akan jadi baik bila sembahyang mereka sudah betul. Maksud firman Allah; “Sesungguhnya sembahyang itu akan mencegah daripada melakukan perkara keji dan mungkar”.

Bagi membolehkan benih iman itu tumbuh subur, amat wajarlah kalau hati; tempat benih iman itu akan disemai, kita suburkan terlebih dahulu. Namun sebelum itu, kita perlulah menyedari apakah hati kita ini adalah hati yang sudah gersang. Apakah hati kita ini sudah benar-benar bersedia untuk disemaikan benih iman padanya? Mari kita perhatikan antara tanda-tanda hati yang gersang.

Bila kita bersembahyang tapi hati tidak dapat merasakan kelazatannya, maka itulah tanda hati yang gersang. Bila azan berkumandang tapi hati tidak rasa terpanggil untuk menyahut panggilan Tuhan itu, maka itulah tandanya hati kita sudah gersang. Bila alunan ayat-ayat Allah dibacakan tapi hati tak rasa hiba dan tidak bertambah keimanan, maka itulah sifat hati yang gersang. Bila Nama Allah disebutkan tapi hati tak rasa gentar, maka itulah tanda hati yang gersang. Bila melihat alam; baik langit, bumi dan segala isinya tapi hati tak rasa itulah bukti keagungan Allah, maka itulah tandanya hati kita sudah gersang.

Hati yang subur akan dapat merasakan keseronokan menyembah Tuhan, kerana benih iman telah hidup bercambah menjadi pohon yang rendang. Naungan pohon itu pasti seharusnya memberi ketenangan pada hati tersebut. Nikmatnya bersembahyang sehingga menyebabkan yang menyembah itulah yang menunggu-nunggu waktu dan bukannya Yang Disembah itu yang menunggu-nunggu. Pohon iman yang kukuh lantaran suburnya hati itulah yang membuahkan kerinduan untuk bertemu Tuhan di dalam waktu-waktu sembahyang. Bila terdengar sahaja azan, terasa olehnya bahawa Tuhan yang dirindunya itu sedang memanggil-manggilnya. Lupalah dia pada yang lain selain Allah, lalu segera dia bersiap dengan pakaian tercantik untuk menghadap Tuhannya. Baginya, berhias dengan pakaian yang terbaik untuk Tuhanlah yang lebih layak dilakukan daripada berhias untuk bertemu manusia.

Tanyakanlah pada diri kita sendiri. Pernahkah rasa-rasa ini hidup subur di dalam hati kita? Kalau tidak itulah tanda iman kita belum lagi bercambah subur kerana tempat semaiannya iaitu hati kita adalah hati yang gersang lagi tandus. Bila anda sudah dapat merasakan bahawa hati anda telah gersang, maka suburkanlah ia semula. Gemburkanlah hati itu supaya benih iman yang kita semai sejak dulu lagi itu akan dapat bercambah dan membesar menjadi pohon yang kita idam-idamkan.

Hati yang gersang perlu disirami dengan air hujan rahmat supaya suburnya ia nanti akan menyuburkan pula benih iman yang kita tanam. Hujan rahmat tidak akan turun, kalau kita sendiri tidak mengharapkannya. Siapakah yang menurunkan hujan ini kalau bukan Allah. Kalau hujan rahmat itu berada di TanganNya, maka hendaklah kita berbaik-baik dengan Allah.

Perhatikanlah apa yang Dia suka, lalu perbuatlah. Yang paling Allah suka ialah bila manusia merasa diri mereka hamba kepadaNya. Manusia yang merasa diri hamba akan sentiasa merasa diri berdosa. Manusia yang memiliki rasa hamba akan sentiasa merasa diri lemah dan memerlukan bantuanNya. Lalu mereka ini akan melaksanakan sembahyang dengan sebaik-baiknya. Kerana bagi mereka sembahyang itu adalah hadiah Tuhan pada manusia. Saban waktu mereka cuba untuk memperbaiki sembahyang sehinggalah sembahyang mereka itu berjaya membina peribadi yang agung dalam diri mereka sendiri.

Mereka ini juga akan terus-menerus membaca Al Quran, kerana mereka tahu dengan membacanya maka mereka dapat merasakan bahawa Allah berkata-kata padanya. Kemudian mereka akan perhatikan apa yang Tuhan mahukan darinya melalui Kata-Kata yang dibaca olehnya. Mereka akan berusaha untuk memenuhi tuntutan Allah dengan penuh rasa cinta bukan kerana terpaksa.

Mereka yang merasa diri hamba akan melazimkan diri berzikir mengingati Tuhannya, kerana mereka yakin dengan janji Tuhan di dalam KalamNya bahawa dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang. Lalu mereka mulakan berzikir dengan lidah mereka sehinggalah akhirnya zikir itu bergetar di dalam hati mereka.

Hati yang gersang juga perlu kita gemburkan dengan baja. Untuk itu maka bunuhlah sifat-sifat mazmumah dan amal-amal maksiat yang selama ini kita lakukan. Sifat hasad, dengki, khianat, berdusta, ria’, sombong dan lain-lain lagi, perlulah dihapuskan. Amal-amal maksiat seperti berdua-duaan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, baik di hadapan umum atau bersendirian haruslah ditinggalkan. Kerana itu semua hanya akan mendatangkan kebencian Tuhan pada kita. Bila Tuhan sudah benci maka tiada apa makna lagi buat manusia walau sebaik atau sehebat mana pun mereka. Hapuskanlah perkara-perkara keji dan mungkar ini dengan penuh kesungguhan. Dan bangkai sifat-sifat tercela yang telah kita bunuh itulah yang akan membajai hati, tempat semaian benih iman yang suci.

 

 

Klon: Satu Kontroversi, Satu Bukti

 

Istilah “klon” rasanya sudah tidak asing lagi bagi masyarakat dunia. Secara umumnya, klon ialah satu hidupan yang dicipta daripada satu hidupan yang lain, sehingga menghasilkan dua organisma yang mempunyai set gen yang sama. Sebenarnya proses pengklonan ini telah berlaku lebih 100 tahun yang lalu. Hans Dreisch telah berjaya menghasilkan haiwan klon yang pertama dalam tahun 1800-an.  Walau bagaimanapun, tujuan asal beliau bukanlah untuk mencipta dua haiwan yang serupa, tetapi untuk membuktikan bahawa unsur genetik tidak akan hilang sekalipun satu-satu sel itu dipisahkan.

Pada 5 Julai 1996, Ian Wilmut dari Roslin Institute di Scotland, telah berjaya menghasilkan “Dolly” iaitu seekor kambing biri-biri yang diklon menggunakan sel daripada seekor biri-biri yang lain.

Dengan kejayaan demi kejayaan yang manusia perolehi ini, akhirnya tercetus dalam benak manusia-manusia ini untuk menghasilkan manusia klon dengan menggunakan kaedah dan teknologi yang sama. Mereka merasakan ia adalah sesuatu tidak mustahil untuk dilakukan. Bila ini dibuat, bermakna seorang yang telah lama meninggal dunia pun boleh “dihidupkan” kembali dengan mengambil hanya satu sel daripadanya dan dibiakkan dalam satu embrio,  sehingga menghasilkan seorang manusia yang serupa dengan yang telah meninggal dunia itu.

Tapi yang pasti, sekalipun mereka berjaya mengklon manusia, objek yang mereka cipta itu tidak akan 100% sama dengan yang asal. Tentu ada banyak kekurangan di sana sini yang mereka tidak jangkakan akan berlaku.

Walaupun para saintis ini yakin perkara ini dapat dilakukan, namun majoriti masyarakat dunia memandang ia adalah sesuatu yang tidak beretika. Dari sudut keagamaan sendiri, perbuatan mengklon manusia dianggap sesuatu yang bertentangan dengan prinsip kerana dikhuatiri manusia akan sampai tahap mendakwa mereka adalah Tuhan kerana mereka mampu mencipta manusia.

Kalaulah proses pengklonan manusia ini adalah sesuatu yang terlarang dan tidak bermoral, persoalannya, mengapakah Allah kurniakan juga ilmu ini pada manusia? Mengapa ilmu yang terlarang untuk diamalkan ini diberikan Tuhan kepada kita?

Inilah persoalan yang paling penting yang perlu dijawab oleh manusia. Mempersoalkan kenapa ia tidak boleh diamalkan tidak akan membawa apa-apa manfaat sekalipun. Kalau boleh diamalkan pun, pasti kita akan berdepan dengan lebih banyak masalah lagi daripada kebaikan.

Mari kita cuba fikirkan apakah sebenarnya yang Tuhan mahukan daripada kita bila kita dikurniakan ilmu seperti ini. Yang pasti setiap apa yang Tuhan buat, Dia ada alasan untuknya. Tugas kita ialah untuk fahamkan apa yang Dia hendak daripada kita.

Dahulu, bila Nabi s.a.w. beritahu kafir Quraisy Mekah bahawa semua manusia akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti, mereka semua tercengang kehairanan. Hampir gila mereka memikirkan tentang bagaimana tubuh manusia yang sudah hancur luluh tertanam dalam bumi ini, boleh bangkit semula dengan keadaan tubuh yang serupa dengan yang asal. Lantaran merasa cukup pelik dengan berita yang Nabi sampaikan, mereka bertindak mengejek Nabi dan menganggap Nabi s.a.w. sudah tidak siuman lagi. Bagi mereka, peristiwa kebangkitan semula itu adalah sesuatu yang cukup mustahil untuk berlaku.

Bukan manusia zaman itu sahaja yang tidak percaya tentang hari kebangkitan, malah manusia zaman moden ini pun masih ramai yang meragui kebenarannya. Kerana degilnya manusia tidak mahu mempercayai bahawa Tuhan berkuasa membangkitkan semula tubuh yang telah hancur inilah, maka mungkin itulah sebabnya ilmu pengklonan ini Tuhan berikan kepada kita.

Sudah tiba masanya manusia melihat sendiri bukti terhadap kebenaran janji Tuhan. Kalau manusia, dengan ilmu pengklonan ini pun sudah hampir mampu untuk “menghidupkan” semula jasad manusia lain yang telah mati, apakah mustahil bagi Tuhan untuk melakukan seperti itu malah yang lebih baik daripada itu? Tentu anda boleh menjawabnya sendiri.

Persoalan yang seterusnya, masihkah kita mahu menafikan janji Tuhan itu? Masih tidak mahukah kita meyakini bahawa satu masa nanti semua manusia akan Tuhan bangkitkan semula di hadapanNya? Kalau masih lagi tidak mahu percaya, terpulanglah. Setiap masa Tuhan tunjukkan bukti kewujudanNya dan bukti kebenaran janjiNya. Itu sebenarnya yang Dia mahu daripada manusia; mengenal dan mencintaiNya sebagai Tuhan.

Bagi yang telah percaya tentang hari kebangkitan dan pertemuan dengan Tuhan ini, cukupkah bagi kita hanya dengan percaya atau beriman sahaja? Bila ditanya pada manusia-manusia Islam, secara spontan mereka menjawab; aku percaya… Tapi malang, perbuatan mereka sehari-harian langsung tidak mencerminkan kepercayaan itu.

Maksiat masih dibuat. Dosa masih terus digiat. Seolah-olah kepercayaan mereka hanya pada lidah bukan pada hati. Umpama orang yang percaya api itu panas dan boleh membakar, tapi mereka terjun juga ke dalamnya. Atau mereka yang percaya harimau itu ganas, tapi dihulurkan juga kepala padanya. Itulah kepercayaan yang tidak selari dengan perbuatan.

Sudah sampai masanya untuk kita kembali semula pada Tuhan. Bukti wujudNya Dia sudah terlalu banyak dapat kita perhatikan. Ilmu yang kita pelajari saban waktu ini sepatutnya sudah cukup mampu untuk kita mengenal siapa Tuhan yang selama ini kita sembah. Hanya untuk itulah maka pelbagai jenis ilmu Tuhan ilhamkan kepada manusia. Supaya semua manusia, dengan ilmu-ilmu ini dapat mengenal siapa Tuhan mereka dan seterusnya memperhambakan diri kepada Tuhan yang sudah dikenali itu.

Berhias Di Hadapan Tuhan

 

Rasanya   tak   ada   siapa  pun yang  tak  suka    pada    sesuatu    yang     bersih, kemas   dan    teratur.   Hati   kita   akan senang bila melihat sesuatu itu semuanya bersih, kemas dan tersusun. Fitrah seorang insan, hatinya akan merasa kurang senang bila melihat sesuatu yang comot dan kotor. Biasanya, bila mahu berpakaian kita akan cari pakaian yang cantik dan bersih. Kita mampu berwindow-shopping berjam-jam lamanya hanya untuk mencari sehelai pakaian idaman. Malah kita juga sanggup mengikat perut semata-mata untuk mencukupkan simpanan bagi mem-bolehkan kita membeli pakaian yang mahal harganya dan yang popular jenamanya.

Adakalanya sehelai baju pun sudah ratusan ringgit harganya. Belum lagi seluar dan juga kasut. Kadang-kadang, pakaian itu hanya dipakai sekali sahaja. Untuk memakai pakaian yang tidak berjenama, tak ada classs katanya. Biarlah bergolok bergadai, asalkan pakaian yang indah dapat kita pakai.

Tak puas hati dengan pakaian yang sudah sedia untuk dibeli, kita ke kedai jahitan untuk menempah pakaian. Si tukang jahit pun mencadangkan rekaan fesyen terkini, citarasa muda mudi. Kita tak kisah akan harganya. Biarlah papa asal bergaya.

Tak cukup dengan pakaian, kita mengumpul duit untuk beli perhiasan. Biar berseri wajah dengan anting-anting yang indah. Biar terpukau si lelaki pada cincin permata di jari. Biar cemburu si rakan melihat rantai emas dan berlian. Biarlah kita papa asalkan kita dapat bergaya, itulah alasan kita dan itulah juga cogankata.

Lazimnya begitulah manusia. Sanggup berhabis harta agar diri mereka nampak berseri, nampak ceria. Biar semua orang memuji. Biar semua orang memuja. Kita senang berhias-hias walaupun terpaksa jadi papa kedana.

Memanglah memakai perhiasan dunia itu bukanlah satu kesalahan, kalau ia bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk. Tapi yang sedihnya dalam kita sibuk berhabis harta untuk berhias di hadapan manusia, kita lupa untuk berhias-hias di hadapan Tuhan ketika bersembahyang.

Cuba buat perbandingan, antara pakaian yang kita pakai di hadapan manusia dengan pakaian yang kita pakai di hadapan Tuhan. Manakah yang lebih baik dan yang lebih indah? Kalau dikaji dan diteliti, lazimnya kita hanya senang berkain pelikat yang terlalu usang untuk menghadap Tuhan. Badan kita cukup hanya dipakaikan sehelai T-Shirt yang sudah lusuh lagi singkat.

Kadangkala ada kesan tumpahan kopi di hujung kain, tapi kita biarkan sahaja. Itu bukannya najis, kata kita. Tapi kalau baju yang kita pakai semasa bekerja terpalit sedikit dakwat hitam pun, kita sudah mula gelisah. Kopiah pun kita tak pakai. Alasannya itu perkara sunat. Tapi bila ke majlis makan malam, kita segak berbaju melayu dengan songkok bersulam.

Tudung, baju dan kebarung yang mahal yang kita peragakan di hadapan manusia, mampu kita usahakan. Tapi telekung yang kita gunakan untuk menghadap Tuhan dan yang sudah lusuh, langsung kita tak hiraukan. Adakalanya sudah berminggu tidak dicuci. Itupun kita masih tidak peduli.

Begitukah kita melayan Tuhan? Di hadapan manusia kita indah berpakaian. Tubuh kita berseri dengan pelbagai perhiasan. Tapi bila berdiri di hadapan Tuhan, jenis pakaian yang dipakai langsung tak diendahkan. Di hadapan manusia badan semerbak dengan haruman. Tapi bila menghadap Tuhan, badan semerbak dengan bau peluh. Kita boleh mengambil masa untuk mandi sebelum menemui manusia, tapi malas untuk membersihkan diri sebelum menemui Tuhan.

Sampainya hati manusia melayan Tuhannya dengan cara begini. Perhiasan di hadapan manusia melebihi perhiasan di hadapan Tuhan. Saban hari mereka mengucapkan Allahu Akbar – Allah Maha Besar, tapi realitinya makhluk juga yang dibesarkan. Layanan yang mereka berikan pada manusia lebih besar berbanding layanan yang diberikan pada Tuhan.

Berhiaslah di hadapan Tuhanmu dengan pakaian yang baik, bersih dan indah, kerana itulah yang lebih berfaedah. Kalaulah tujuan berhias itu adalah untuk mendapatkan pujian, maka kejarlah pujian Allah. Kerana pujian manusia itu adalah pujian yang penuh dengan kepura-puraan. Pujian yang ada kepentingan. Sedangkan pujian daripada Tuhan adalah pujian yang paling mulia dan akan kekal selama-lamanya.


Lunak Besi Kerana Suaranya

 

Di kalangan sekalin manusia yang pernah diciptakan Tuhan, mungkin seorang sahajalah yang mempunyai suara yang paling merdu. Kemerduan suaranya bukan membuatkan manu sia sahaja yang terpesona, bahkan burung-burung pun terhenti musafir mereka lalu hinggap di dahan-dahan berhampiran untuk menikmati keindahan alunan suaranya.

Malah, bukan setakat makhluk yang bernyawa sahaja yang terkesan dengan kemerduan suara itu, bahkan besi-besi pun menjadi lunak hingga mudah ditempa menjadi pelbagai bentuk rupa.

Begitu hebatnya Tuhan, yang telah memilih seorang daripada hamba-hambaNya bagi membuktikan betapa Dia Maha Berkuasa. Supaya dengan cara itu, seluruh manusia dapat berfikir, sekiranya seorang manusia sekerdil itu sudah begitu merdu suaranya, betapalah pula suara Tuhan yang menciptanya.

Manusia yang bertuah ini Daud namanya. Bukan sahaja baginda ini diberi anugerah merdunya suara, malah baginda juga telah diamanahkan satu pangkat kebesaran sebagai seorang Rasul dan juga raja.

Dengan anugerah yang sedemikian rupa , Tuhan bermaksud agar kelebihan yang baginda perolehi dapat memberi sedikit pengajaran yang berguna untuk seluruh manusia. Baik pada zamannya mahupun pada zaman-zaman sesudahnya.

Kemerduan suara Nabi Daud semakin terserlah apabila baginda mengalunkan rangkap-rangkap kalam Allah yang termaktub dalam kitab Zabur. Maka terpesonalah seluruh alam bukan sahaja pada suaranya malah pada butir-butir kalam Allah itu. Lalu bertambahlah iman-iman mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Hati-hati manusia yang pejal sekeras batu pun pecah berderai mendengarkan kalam Tuhan itu dibacakan oleh baginda Daud a.s. Bukan setakat hati manusia sahaja yang cair, bahkan besi-besi pun menjadi lembut lantaran takut pada Tuhan.

Sekalipun baginda memiliki kelebihan luar biasa ini atau dikenali sebagai mukjizat, namun baginda tahu bahawa kemerduan suaranya adalah satu amanah yang harus digunakan bagi membawa manusia mengenal dan mendekati Allah. Memang atas tujuan itulah baginda diutus dan bersamanya dianugerahkan suara yang merdu sebagai alat untuk berdakwah pada manusia.

Selepas kewafatan baginda, Allah masih melahirkan insan-insan yang memiliki suara yang merdu walaupun tak semerdu suara Nabi Daud a.s. Tetapi malangnya tidak semua insan-insan bertuah ini memahami tujuan sebenar mereka diberikan anugerah tersebut.

Mereka hanya melihatnya sebagai satu kelebihan bukan sebagai amanah dari Tuhan. Lalu mereka mempergunakan anugerah itu untuk kepuasan diri sendiri, bukan untuk memuaskan “hati” Tuhan.

Mereka jadikan kemerduan suara mereka untuk sumber untuk meraih pujian dan pujaan. Tak kurang juga yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan. Mereka sangat berbangga dengan keistimewaan yang mereka ada dan lupa pada siapa yang memberi kurnia.

Kalau pun ada yang menggunakan kelunakan suara untuk mengalunkan ayat-ayat Tuhan, tapi kebanyakannya hanya bermotifkan keuntungan dan juga pujian.

Kalau pun ada yang mendendangkan lagu yang digelar nasyid, namun sebahagiannya hanya bermatlamatkan glamour dan mendambakan pujaan.

Seharusnya kita jika telah dianugerahkan Tuhan dengan suara yang lunak, sewajarnyalah kita gunakan untuk memuji dan memuja Tuhan. Biar semua manusia terpegun dan terpesona pada kehebatan Tuhan yang memberi suara dan bukannya pada kita.

Biarlah setelah alunan suara kita didengari mereka, nama dan kehebatan Tuhan yang terpahat dalam sanubari mereka, dan bukannya nama kita.

Apabila ini berlaku, maka layaklah kita menjadi tetamu Nabi Daud a.s. nanti di dalam syurga. Dan di kala itu tentunya tersenyum baginda Nabi Muhammad s.a.w. kerana seorang umatnya sudah menjadi teman pada Daud Alaihissalam.

Lazimnya Pemohon itu Rendah Darjatnya

 

Membuat permohonan bukanlah sesuatu yang asing bagi kita semua. Baik untuk sekecil-kecil tujuan mahu pun sebaliknya. Hendak bercuti misalnya, kita akan isi borang dan mengajukan permohonan kita itu kepada ketua. Hendak meminjam wang, kita akan memohon daripada institusi kewangan. Hendak sambung pengajian, kita memohon daripada institusi pendidikan. Hendak pekerjaan, kita memohon daripada majikan.

Pendek kata, kita memohon sesuatu yang tidak kita miliki. Dan kita memohon daripada mereka yang kedudukannya lebih tinggi. Kerana lumrahnya, mereka itu ada kuasa untuk meluluskan segala bentuk permohonan.

Kalau pun kedudukan atau darjat orang yang kita memohon daripadanya itu tidak setinggi mana pun, tapi dia ada sesuatu yang tidak ada pada kita. Dia ada kuasa yang kita tidak ada. Dia ada kelebihan yang kita tiada punya. Atas dasar perbezaan yang seperti itulah maka hendak atau tidak, kita harus memohon kebenaran atau memohon kelulusan daripadanya.

Dalam membuat satu-satu permohonan, sudah pasti ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi dan ada prosedur-prosedur yang harus dipatuhi. Gagal atau berjayanya satu-satu permohonan biasanya sangat bergantung kepada perkara-perkara tersebut.

Sebagai pemohon, kita akan pastikan semua syarat-syarat permohonan itu dipenuhi. Kita maklum bahawa tiada gunanya memohon untuk bercuti satu minggu misalnya, kalau syarat layak hari bercuti hanyalah tiga. Tidak ada gunanya memohon untuk menjadi jurutera, kalau kelulusan yang kita ada ialah bidang pemasaran sarjana muda. Tidak ada gunanya juga memohon pinjaman ratus ribuan jumlahnya, kalau kita tidak punya harta untuk dicagar atau pun penjamin untuk membela. Begitulah pentingnya syarat dipenuhi sebelum permohonan itu dibuat.

Kalau pun syarat sudah lengkap, pemohon masih perlu mematuhi prosedur. Borang perlu diisi dengan sempurna. Surat perlu dikarang dengan bermakna. Lebih baik lagi jika si pemohon bersua muka dengan pihak yang dipohon daripadanya. Dan jika itu berlaku, pastinya si pemohon akan mengenakan pakaian yang sebaik-baiknya. Bersikap dengan sikap yang paling molek. Berbicara dengan bicara yang paling beradab. Semuanya hanya untuk satu maksud – agar permohonan itu diluluskan.

Begitulah kesungguhan kita dalam memastikan yang dipohon itu diluluskan. Demi satu permohonan kita rela mengakui kedudukan kita sebagai pemohon. Tindak tanduk kita, adab bicara kita akan semampunya kita sesuaikan dengan kedudukan kita sebagai pemohon.

Begitu jugalah sewajarnya kita lakukan pada Tuhan. Memohon itu adalah sifat seorang hamba. Kita bukan hanya digalakkan bahkan diwajibkan untuk memohon apa sahaja daripada Allah. Mahu tidak mahu, dalam sehari sebanyak 17 kali kita “terpaksa” memohon diberi petunjuk sebagaimana yang kita tuturkan dalam al Fatihah, surah yang kita baca setiap rakaat solat.

Kenapa diwajibkan kita memohon? Sebab Allah mahu kita terus mengekalkan sifat seorang hamba dalam diri kita. Lazimnya si pemohon itu darjatnya adalah lebih rendah daripada yang mengurniakan permohonan.

Sebagaimana hubungan kita sesama manusia dalam hal permohonanan ini, maka samalah juga antara hamba dengan Tuhannya. Apabila kita mahu memohon atau berdoa pada Allah, segala syaratnya perlu dipenuhi dan segala prosedur atau adabnya perlu dipatuhi.

Antara syaratnya adalah laksanakan apa yang Tuhan suruh dan jauhi apa yang Dia larang. Kalau selama ini, suruhan dan arahan bos kita di pejabat kita tidak ambil peduli, tiba-tiba kita membuat satu permohonan daripadanya, bayangkanlah apa yang mungkin berlaku. Pastinya sukar untuk permohonan itu diluluskan. Apatah lagilah dengan Tuhan.

Harus juga dipastikan makan dan minum kita adalah bersumber daripada yang halal kerana sesuatu yang haram itu adalah penghalang termakbulnya permohonan.

Apabila memohon daripada Tuhan, haruslah dipilih waktu-waktu yang sesuai misalnya selepas solat, ketika berpuasa, semasa dalam ihram dan ketika berada dalam keadaan berwudhu’. Sebabnya di ketika-ketika seperti itu, pastinya hati kita dalam keadaan yang bersih tanpa maksiat.

Memohon dalam keadaan diri melakukan maksiat adalah perbuatan yang kurang adabnya. Umpama kita hadir ke temuduga dengan pakaian yang tidak kemas dan bicara yang tidak sopan. Sangat mustahil permohonan itu akan diterima.

Semasa mengajukan permohonan pada Tuhan, hendaklah juga kita kekalkan rasa diri hamba. Hendaklah kita akui kita tidak punya apa-apa. Kita tidak punya kuasa. Kita letakkan kedudukan kita pada darjat yang serendah-rendahnya di hadapan Tuhan. Akui segala kekurangan. Akui segala kesalahan. Akui segala kelemahan. Apabila jelas terbezanya darjat hamba dan darjat Tuhan, maka pastinya Allah akan makbulkan segala permohonan.

Seseorang yang mempunyai kuasa untuk meluluskan satu-satu permohonan, pastinya senang hati untuk berbuat demikian sekiranya si pemohon memohon dengan penuh adab dan sopan. Apatah lagi jika kelebihannya itu diiktiraf dan tidak diperkecilkan oleh mereka.

Itulah lumrah kehidupan. Itulah misalannya hubungan sesama manusia dengan hubungan antara hamba dan Tuhan. Janganlah pula kita tahu beradab bila memohon sesuatu daripada manusia, tetapi tidak apabila memohon daripada Tuhan. Memohon kerap daripada manusia tidak selamanya disukai oleh mereka, tetapi memohon berkali-kali daripada Tuhan, melayakkan kita mendapat cinta daripadaNya.